Tuesday, January 6, 2009

Batu Kurau Dalam Lipatan sejarah



Pemandangan Pekan Batu Kurau.
Batu Kurau begitu sinonim dengan ‘Durian Batu Kurau’ merupakan sebuah mukim kecil yang terletak di koridor timur laut negeri Perak dalam daerah Larut, Matang dan Selama. Kedudukannya kira-kira 24 kilometer dari bandar Taiping. Batu Kurau dikenali sebagai ‘Pekan Durian’ kerana di sini terdapat banyak dusun durian, malah buah durian di sini mempunyai rasa yang enak dan sedap serta mempunyai aroma yang tinggi. Batu Kurau juga pernah suatu ketika dahulu digelar sebagai ‘Pekan Koboi’ kerana struktur dan kedudukan bangunan-bangunan lama semasa dan sebelum zaman penjajah masih kekal hingga hari ini. Di samping itu terdapat pula banyak lembu peliharaan penduduk yang berkeliaran bebas tanpa kawalan di sekitar Pekan Batu Kurau.


Sorotan Sejarah Asal Usul Batu Kurau.
Batu Kurau berasal daripada dua perkataan iaitu ‘batu’ dan ‘kurau’. Menurut Kamus Dewan ‘batu’ merupakan bahan galian pepejal bukan logam manakala ‘kurau’ adalah sejenis ikan air tawar. Tidak diketahui dengan jelas bagaimana asalnya nama Batu Kurau dan mengapa ianya dipanggil sedemikian, malah sehingga hari ini tidak ada mana-mana catatan sejarah yang menceritakan dengan tepat asal usul nama Batu Kurau. Dalam kajian ini, penulis dapat merumuskan ada beberapa versi cerita yang diceritakan oleh penduduk tempatan mengenai asal usul nama Batu Kurau yang ada kebenarannya dan terdapat juga cerita-cerita yang dianggap sebagai cerita dongeng ( mitos ) yang agak sukar dipercayai.

Menurut cerita mulut dari sumber yang boleh dipercayai asal usul Batu Kurau adalah sempena nama ikan Kurau yang disumpah menjadi batu. Menurut cerita, pada zaman dahulu terdapat banyak ikan Kurau di dalam sungai-sungai di Batu Kurau. Pada suatu hari, ekoran daripada teguran Sang Kelembai, ikan-ikan Kurau ini telah bertukar menjadi batu dan salah seekor ikan itu mempunyai saiz yang besar dan luar biasa. Berdasarkan batu berbentuk ikan inilah, Batu Kurau mendapat namanya. Batu yang berbentuk ikan itu masih ada sehingga hari ini berada di atas Gunung Sempeneh yang dahulu dikenali sebagai Gunung Kurau yang terletak di Kampung Sempeneh iaitu kira-kira 6 kilometer dari pekan Batu Kurau.

Menurut satu sumber lagi sebelum mendapat nama Batu Kurau, tempat ini lebih dikenali sebagai nama ‘Redang Rimau’. Ini kerana pada waktu itu kawasan-kawasan di Batu Kurau adalah merupakan kawasan hutan rimba yang mempunyai banyak binatang buas terutamanya harimau. Oleh itu, gelaran Redang Rimau telah diberikan kepada kawasan ini. Kehadiran Tok Amar Wan Kasar Bin Raja Hulubalang Patani ( 1859 – 1867 ) merupakan penghulu pertama mukim Batu Kurau telah menukarkan nama Redang Rimau itu kepada Batu Kurau dan nama itu kekal sehingga hari ini.

No comments: